Kisah Menyayat Hati Ibu Mangsa Rogol Yang Menyusui Bayinya Sebelum Berpisah

Kisah ini memang meruntun hati.Menyusukan bayi memang memerlukan kesabaran dan kekuatan, maklumlah bayi menyusu tidak kira waktu. Sama ada ibu sakit atau sihat, ibu penat atau tidak,  malah semasa sedang tidur sekalipun, penyusuan perlu diteruskan mengikut permintaan.Tidak kurang juga ibu-ibu yang terpaksa menahan panggilan semulajadi hanya kerana bayi masih ingin menyusu dan tidak mahu dilepaskan.
Kawasan semak
Gambar Hiasan; Kawasan semak yang mengundang bahaya
Kisah ini berkaitan seorang ibu muda yang menjadi mangsa lelaki tidak berhati perut yang telah merogolnya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Ibu ini  masih muda dan sebenarnya masih belajar di sekolah menengah. Biarlah MG menggelarnya dengan panggilan adik. Perjalanan pulang ke rumah memang memerlukan adik ini melalui kawasan yang sedikit semak. Setelah bertahun melalui kawasan yang sama setiap hari, tidak pernah terlintas di hati beliau bahawa ada bahaya yang menunggu di situ. Paling sedih beliau dirogol oleh seseorang yang dikenalinya dari jauh.
Setelah kejadian ini berlaku, adik ini terlalu takut untuk memberitahu ibu bapanya. Bimbang ianya bakal mengecewakan kedua ibu bapa yang sangat menyayanginya. Beliau terus bersekolah seperti biasa hinggalah suatu hari beliau menyedari yang dirinya telah mengandung, itu pun hanya selepas kandungannya berusia 4 bulan.
Perubahan fizikal adik ini mula dihidu oleh ibu bapanya. Akhirnya semua kisah ini terbongkar. Walaupun beliau diberi pilihan, adik ini memilih untuk meneruskan kandungannya kerana beliau sedar bayi itu langsung tidak bersalah. Tidak dapat dibayangkan perasaan adik ini, mengandungkan bayi daripada seseorang yang pasti sangat dibencinya. Demi menjaga keselamatannya, adik ini dipindahkan ke sebuah rumah perlindungan khas di ibu negara.
newborn-baby
Akhirnya lahirlah bayi comel ini.Asalnya adik ini berniat untuk terus menyerahkan bayi ini kepada sebuah keluarga angkat yang telah lama menunggu kehadiran cahaya mata. Namun takdir tuhan mengatasi segalanya, bayi ini mengalami jaundice (kuning) dan perlu ditempatkan di Neonatal Intensive Care Unit (NICU). Maka masuklah adik ini  ke NICU bersama-sama bayinya. Seperti yang kita semua tahu penawar jaundice adalah susu ibu, maka adik ini dengan rela hati menyusukan bayinya itu. 
Kebanyakkan kes sekarang ibu-ibu yang terlanjur sanggup membuang bayi mereka tanpa belas kasihan. Tetapi adik ini berlainan pula kisahnya, walaupun beliau  mengandung kerana menjadi mangsa, masih sanggup menjaga dan menyusukan bayinya sehinggalah bayi tersebut pulih dari kuningnya dan dibenarkan keluar daripada hospital.
Akhirnya bayi tadi diserahkan kepada keluarga angkat yang memang beriman orangnya. Malah bakal ibu angkatnya juga telah membuat persiapan untuk membolehkan beliau menyusukan bayi tadi. Walaupun keluarga angkat ini membenarkan adik ini berjumpa bayinya, beliau mengambil keputusan untuk tidak berjumpa kerana terlalu sayangkan bayi itu.Katanya biarlah dia mendoakan sahaja anaknya  dari jauh. Dia tidak mahu hati anaknya hancur jika suatu hari nanti anaknya mendapat tahu bahawa beliau adalah anak mangsa rogol.Cukuplah hanya dia yang menanggung kesengsaraan tersebut.
Walaupun adik ini  masih muda, namun sifat keibuannya amat  terserlah. Semoga adik ini berjaya di dalam kehidupan dan berjumpa bakal suami yang benar-benar ikhlas menerimanya suatu hari nanti. Berita terakhir yang diterima, adik ini telah berjaya dalam peperiksaan SPM nya. Mudah-mudahan rahmat dan berkat dari Allah sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan adik tadi dan bayinya walaupun mereka berpisah selamanya. Amin.
Kasih Ibu Membawa Ke Syurga
Kasih Ibu Membawa Ke Syurga
Pengajaran dari kisah adik ini,bahaya ada di mana-mana.Kita sebagai ibu bapa, abang atau kakak perlu sama-sama menjaga keselamatan ahli keluarga.Pastikan anak-anak terutamanya perempuan tidak keluar atau dibiarkan keseorangan. Pastikan ada yang menemani terutamanya kalau mereka perlu melalui kawasan yang tidak sepatutnya.

(Sumber: raikancinta.com)
Share on Google Plus

About Muhammad Fakhruzzaman